Saturday, 14 July 2012

PRA 3107

 PERKEMBANGAN EMOSI

KONSEP
Emosi ialah keadaan yang dirasai oleh seseorang sebagai reaksi kepada sesuatu yang dialaminya. Perkembangan emosi adalah banyak bergantung kepada faktor kematangan dan pengalaman hidup masyarakat. Bagi kanak-kanak, perkembangan emosi adalah melibatkan perasaan kanak-kanak pada diri sendiri, harga diri dan kebolehan menyata atau meluahkan perasaan sendiri. Kanak-kanak yang sihat dalam perkembangan sosioemosi akan dapat berinteraksi secara aktif dengan alam sekeliling dan seterusnya membantu perkembangan pemikiran dan bahasanya.


Emosi kanak-kanak juga sering berubah dan berbeza di antara satu sama lain. Contohnya ketika bermain pelbagai pernyataan emosi di kalangan kanak-kanak dapat dilihat iaitu cemburu, gembira, sayang dan sebagainya. Perbezaan ini mungkin timbul daripada kematangan yang berlainan mengikut latar belakang kanak-kanak seperti aras kecerdasan, keadaan kesihatan dan proses pembelajaran yang dilaluinya. Justeru, perkembangan sosioemosi mereka perlulah diawasi dengan berhati-hati supaya sesuatu yang negatif dapat dimininumkan. Ini tidak bermakna perkembangan emosi mereka disekat kerana jika ia disekat kanak-kanak akan memendam perasaan dan boleh mengancam kesihatan mental mereka. Untuk itu, cara yang lebih baik dalam membantu perkembangan emosi kanak-kanak ialah dengan memberikan kasih sayang, bimbingan berbentuk peribadi dan menyediakan keadaan yang boleh memberikan kanak-kanak pengalaman hidup berkeluarga dan bermasyarakat.
Emosi kanak-kanak Tadika

1.            Kemarahan- berpunca daripada perkelahian akibat berebut alat permainan, keinginan tidak dipenuhi atau diganggu oleh kanak-kanak lain.

2.            Takut- mungkin disebabkan oleh ingatan, ugutan daripada luar atau pengalaman  ngeri.

3.            Cemburu- timbul apabila merasakan dirinya tidak lagi diberikan perhatian oleh guru atau ibu bapa.

4.            Ingin tahu- sentiasa ingin mengetahui sesuatu yang baru. Belajar melalui penerokaan motor-sensori.

5.            Iri hati- terhadap kebolehan, kepunyaan atau kelebihan kanak-kanak lain dan kerapkali dilafazkan.

6.            Gembira- timbul kerana badan sihat dan dapat membuat apa yang dilaksanakan. Reaksi biasa seperti tersenyum, ketawa dan melompat.

7.            Sedih- timbul apabila kehilangan sesuatu yang disayangi. Mereka menangis atau hilang minat terhadap sesuatu.

8.            Manja mengasihi- terhadap manusia, objek atau binatang.


PERKEMBANGAN KANAK-KANAK MENGIKUT UMUR
UMUR
JENIS EMOSI
Peringkat bayi (0-2 tahun)
q  Ketika lahir- kebangkitan perasaan digambarkan melalui tindakan seperti ketawa atau menangis kemudian digambarkan melalui gerak badan.
q  Umur 3 bulan- memperlihatkan dengan jelas emosi suka dan duka
q  Umur 6 bulan- perasaan duka mengambil bentuk perasaan takut, jijik dan marah
q  Umur 12 bulan- emosi suka mengambil bentuk gembira
q  Umur 18 bulan- memperlihatkan rasa cemburu
Peringkat Awal kanak-kanak (2-6 tahun)
q  Cepat marah
q  Imaginatif- contoh: menggambarkan ada hantu di tempat gelap, menyebabkan rasa  takut yang adakalanya timbul akibat pemikiran yang tidak rasional.
q  Rasa takut terhadap suasana baru
q  Cemburu- mengharapkan dirinya sentiasa diberi perhatian, tumpuan dan kasih sayang.
q  Suka bermain sendiri
q  Hanya suka bergaul dengan saudara mara yang sebaya.


TEORI PERKEMBANGAN EMOSI
ERIKSON
PERINGKAT
CIRI-CIRI PERKEMBANGAN EMOSI
0-1  ½ tahun (Bayi)
q  Rasa kepercayaan dibina dalam tahun pertama
q  Membina rasa ketidakpercayaan jika keperluannya tidak dapat dipenuhi
q  Ketidakpercayaan akan membentuk tingkah laku negatif.

1 ½ -3 tahun ( Awal kanak-kanak)
q  Keinginan memiliki kuasa
q  Keinginan membuat sesuatu dengan daya usaha sendiri
q  Merasa malu jika tidak diberi kuasa
q  Merasa malu di depan oraang
q  Merasa takut melakukan kesalahan
3 –6 tahun (Awal Kanak-kanak Tadika)
q  Belajar cepat
q  Bergerak cepat
q  Peka kepada yang betul dan yang salah
q  Merasa serba salah jika diketawakan
q  Membina sikap negatif jikaa merasa serba salah

  
Konsep IQ (Intelligence Quotient)
Merujuk kepada alat mengukur kecerdasan kognitif.



Konsep EQ (Emotional Quotient)
Merujuk kepada pengukuran piawai yang menggambarkan kecerdasan emosi seseorang. Emosi dihasilkan dan dipengaruhi oleh faktor persekitaran, fisiologikal dan proses kognitif.

Perbezaan antara IQ dan EQ
IQ adalah jenis kecerdasan yang dipercayai wujud daripada faktor keturunan atau baka. Manakala EQ pula adalah jenis kecerdasan yang boleh dipelajari. EQ juga boleh dilihat daripada aspek keturunan juga faktor lain yang menyumbang perkembangan EQ seperti pendidikan, keluarga dan suasana persekitaran yang boleh mempengaruhi EQ seseorang. Kecerdasan ini sangat berpengaruh terhadap reaksi seseorang apabila menghadapi masalah dan cabaran dalam kehidupan.

Kepentingan EQ
EQ adalah kecerdasan sosial yang amat penting bagi mendidik manusia menjadi insan yang seimbang. Melalui kecerdasan emosi seseorang itu akan menjadi lebih berjaya dalam hidupnya berbanding individu yang mempunyai IQ yang tinggi. IQ hanya alat mengukur kecerdasan kognitif manusia sahaja. EQ pula dapat menjana proses pendidikan yang sempurna bagi kanak-kanak sehingga mereka mencapai usia 18 tahun bagi membentuk insan yang lebih berjaya kerana kecerdasan emosi merangkumi lima domain yang saling berhubung kait, seperti mengenali emosi sendiri, mengurus emosi sendiri, memotivasikan emosi negatif, mengenali emosi orang lain dan mengendalikan hubungan.
EQ memberi ruang kepada individu meneroka potensi diri sendiri di samping memberi peluang kepada individu menyesuaikan diri dengan emosi diri dan membentuk emosi yang sesuai demi kepentingan diri dan orang lain. Individu yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi dapat mengendalikan emosi yang menguasai dirinya. Individu yang mempunyai IQ yang tinggi sahaja gagal membendung emosi yang menguasai dirinya dan menyebabkan individu tersebut mudah mendapat tekanan. EQ bukan sekadar emosi yang dididik oleh kognisi tetapi juga diperkaya dengan unsur kerohanian yang mampu mendidik manusia menjadi insan yang lebih seimbang. EQ dapat menyumbang ke arah pendidikan yang lebih sempurna, sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara.

Teori Kecerdasan Emosi
Teori ini diperkenalkan oleh Daniel Goleman. Beliau melihat lima domain Kecerdasan Emosi sebagai asas yang cukup kuat dan kental dalam membina definisi Kecerdasan Emosi.

Mengenali emosi sendiri. Melalui kesedaran kendiri, seseorang mengetahui dan memahami emosinya, sedar emosi apa yang sedang merayap di minda akibat sesuatu rangsangan dan cuba kuasai emosi tersebut.
Mengurus emosi sendiri. Mengambil Peluang mengawal emosi yang sedang menguasai diri. Emosi datang tanpa diundang, tetapi kita yang menentukan berapa lama emosi itu menguasai diri kita.
Memotivasikan emosi negatif. Jadikan emosi sebagai alat meningkatkan keupayaan berfikir, merancang dan menyelesaikan masalah.
Mengenal emosi orang lain. Penting bagi kita kenali perasaan sendiri dahulu kemudian baru cuba menjelajahi dan memasuki emosi orang lain (empati). Ini bagi mengelakkan kekeliruan emosi terutamanya apabila orang lain mencurahkan emosi mereka.
Mengendali perhubungan. Selepas mengenali emosi orang lain dan kita berupaya mengurus diri sendiri serta berempati, maka perhubungan yang positif dan akrab dapat dibentuk.

CARA MENGESAN EMOSI KANAK-KANAK
Alat yang digunakan untuk mengesan Kecerdasan Emosi kanak-kanak berbentuk soal selidik yang dirangka mengikut kemahiran-kemahiran yang dinilai. Jawapan kepada soal selidik itu boleh dinilai berdasarkan skala yang tertentu. Misalnya, untuk menguji kemahiran memahami emosi sendiri, soal selidik yang dirangkakan boleh berbunyi begini: “Saya marah apabila apa yang saya mahu tidak didapati”. Jawapannya boleh seperti berikut: Sangat betul ( 3 markah(, betul (2 markah), sedikit betul (1 markah) dan tidak betul sama sekali (0 markah). Markah-markah yang diperolehi daripada sekian banyak soal selidik yang dilakukan dicampurkan dan seterusnya dibuatkan satu penilaian terhadap jumlah markah yang diperolehi itu tentang kemahiran mengenai emosi. Soal selidik ini boleh dilaksanakan melalui dua cara iaitu:


Memerhati kanak-kanak
Guru memerhati, berinteraksi dan menganalisis perkembangan dan perlakuan kanak-kanak dari semasa ke semasa dan menjawab soal selidik yang telah dirangka itu. Soal selidik yang dirangka itu boleh berbentuk senarai semak terhadap kemahiran-kemahiran yang dinilai. Sesuai dengan pendekatan  soal selidik,  guru juga boleh membuat temuduga dengan kanak-kanak yang      dinilai.
Portfolio
Guru juga boleh menyediakan satu bentuk dan cara untuk mendokumentasikan dan menyimpan segala rekod tentang kanak-kanak daripada pelbagai bentuk penilaian. Penilaian melalui portfolio adalah satu proses yang berterusan dan kandungannya adalah hasil daripada tindakan meneliti hasil kerja dan perlakuan kanak-kanak yang dinilai. Melalui cara ini guru dapat memantau perkembangan perlakuan emosi dan kesannya terhdap interaksinya dengan rakan-rakannya yang lain.

CARA MEMBANTU EMOSI YANG SIHAT
Penggunaan sastera kanak-kanak merupakan salah satu cara membantu emosi yang sihat. Digunakan secara berkesan untuk tujuan mendidik kemahiran Kecerdasan Emosi di kalangan kanak-kanak perlu mengambil kira cara karya-karya itu digunakan. Cara menggunakan sastera kanak-kanak harus mengambil kira perkembangan mental kanak-kanak. Menggunakan kaedah yang berkesan dan sesuia dengan perkembangan kognitifnya supaya pemahaman mereka kepada persoalan yang ingin disampaikan akan lebih berkesan.
Aktiviti yang boleh dilakukan ialah:
Membaca dengan suara kuat
Guru dapat membawa sinar keseronokan ke dalam jiwa kanak-kanak melalui aktiviti membaca dengan kuat cerita yang baik kepada mereka. Membaca dengan kuat wajar bermula semenjak kanak-kanak itu masih bayi lagi. Irama bahasa yang merdu dan suara yang penuh kasih sayang akan mententeramkan pendengar. Sebenarnya membaca dengan suara kuat bukan hanya untuk kanak-kanak yang belum tahu membaca. Kanak-kanak yang belum pandai membaca atau yang sudah pandai membaca amat tertarik dengan aktiviti ini.

Bercerita
Mendengar cerita memang menjadi kegemaran kanka-kanak. Namun bukan mudah untuk menjadi pencerita yang baik. Untuk menjadi pencerita yang baik, seseoraang itu hendaklah menggunakna suara, gerakan, gerak badan dan mimik muka. Seterusnya, pencerita yang baik harus mempunyai kualiti-kualiti tertentu seperti mampi berimaginasi dengan baik, berupaya melakukan konsentrasi dan berkebolehan untuk menyesuaikan ceritanya dengan keadaan pendengar. Dengan kata lain, pencerita boleh membawa unsur-unsur lakonan untuk memberi kesan kepada penyampaiannya.


Perbincangan  buku
Perbincangan buku dilaksanakan selepas sesi membaca dengan kuat dan bercerita. Melalui perbincangan buku, kanak-kanak diberi peluang untuk menyampaikan perasaanya terhadap cerita yang disampaikan. Kerjasama ibu bapa dan guru melalui soalan-soalan yang sesuai (kenapa, mengapa) dikemukakan kepada kanak-kanak supaya dapat membantu mereka untuk memahami hasrat pengarang dan tujuan watak-wataknya. Melalui perbincangan buku, guru dapat melihat dan menilai respons kanak-kanak terhadap karya yang dibacakan atau cerita yang dikisahkan.

Aktiviti Dramatik
Teater cerita- teater cerita adalah sejenis dramatisasi di mana penyampai membaca atau bercerita dan pelakon (kanak-kanak) melakonkan aksinya (pantomin).
Pentafsiran oral- Pentafsiran oral ada hubungannya dengan dramatisasi. Ia dilakonkan dengan menggunakan suara tertentu untuk mencipta semula cerita bagi didengar dan memberi gambaran jenis manusia atau binatang yang menjadi watak-watak di dalam cerita itu.
Teater pembaca- Teater pembaca memerlukan seorang penyampai dan beberapa orang pembaca (antara lima hingga enam orang) untuk mewakili watak-watak yang ada. Peranan penyampai ialah membuat pemerian terhadap sesuatu keadaan atau peristiwa yang tidak dapat dilaksanakan oleh dialog. Tindak balas pembaca kepada cerita itu boleh dilihat daripada nada suara dan mimik muka untuk menyampikan interpretasi watak.
Persembahan boneka- boneka boleh bercerita atau mengambil bahagian di dalam cerita. Maka banyak cerita yang disampaikan melalui kombinasi di antara boneka dngan pencerita. Persembahan boneka memberi peluang kepada guru dan kanak-kanak untuk merancang dramatisasi, membina dialog dan menggunakan suara secara efektif.
Seni drama kreatif- Penceritaan secara spontan
Pengucapan beramai-ramai- Nyanyian, puisi irama ( pantun 2,4 kerat).

TEORI PEMBELAJARAN SOSIAL
Teori pembelajaran sosial melibatkan tiga unsur asas yang utama. Di antaranya ialah individu,(proses), persekitaran (environment) dan tingkah laku (behavior). Di dalam tiga unsur asas ini dirujuk sebagai keadaan motivasi intrinsiknya, persekitaran sebagai ransangan luaran, dan tingkah laku sebagai perlakuannya.

Mengikut teori pembelajaran sosial, pembelajaran merupakan interaksi di antara motivasi intrinsik dan tingkah laku individu dengan persekitarannya.  

                                                                                                                                                                                                              
TEORI PERMODELAN BANDURA

Bandura dan Walters menggunakan sekumpulan kanak-kanak tadika (berumur 3-6 tahun) untuk menjalankan kajian mereka pada tahun 1963, dan berjaya membuktilan bahawa kanak-kanak keseluruhannya meniru model yang ditonton dengan gaya yang lebih agresif.  Beliau merumuskan bahawa pelbagai tingkah laku sosial seperti keagresifan, persaingan, peniruan model dan sebagainya adalan hasil pemerhatian daripada gerak balas yang ditonjolkan oleh orang lain.

Mengikut Teori Bandura, pembalajaran melalui pemerhatian merupakan pembentukan asas tingkah laku manusia.  Melalui pemerhatian terhadap proses dan hasil perubahan tingkah laku orang lain, individu secara tidak langsung, mempelajari pula perubahan tingkah laku tersebut.  Bandura menyebut orang yang diperhatikan sebagai model, dan proses pembelajaran melalui pemerhatian tingkah laku model sebagai permodelan (modeling).


 
PROSES PEMBELAJARAN MELALUI PEMERHATIAN/PERMODELAN

Bandura (1986) mengenal pasti empat unsur utama dalam proses pembelajaran melalui pemerhatian atau permodelan, iaitu perhatian (attention), mengingat (retention), reproduksi (reproduction), dan peneguhan (reinforcement) atau motivasi (motivation).


1. PERHATIAN
 
*Pembelajaran hanya berlaku jika ada penumpuan perhatian
*ciri2 model seperti nilai, umur, jantina,status dan      perhubungan dengan pemerhatian        kegunaan dan faedahnya, kemahiran pemerhati



2. MENGINGAT
 
  *Pemerhatian harus berupaya mengekalkan tingkah laku     yang diperhatikan dalam ingatan.  Mengikut Bandura, butir2 tingkah laku boleh dikekalkan dalam ingatan dengan menggunakan bahasa dan imaginasi.




3. REPRODUKSI
 
 *Pemerhatian harus berupaya melakukan semula
tingkahlaku     yang ditirunya.  Kecekapan mengulangi tingkah laku orang lain bergantung kepada keupayaan fizikal dan kemahiran tiruan motor pemerhati, serta kemahiran mengingat dengan tepat.



4. PENEGUHAN/
      MOTIVASI
 
  * individu biasanya meniru dan melakukan semula tingkah   laku yang diperhatikan sekiranya ia mendatangkan kepuasan, peneguhan positif atau ganjaran.
*  dia mungkin tidak akan melakukan semula tingkahlaku sekiranya ditegur atau didenda.
*  jenis-jenis peneguhan yang memotivasikan tingkah laku tiruan seperti
-peneguhan secara langsung. Cth, pujian
-peneguhan tidak langsung.  Cth, melihat orang 
 menerima hadiah
-peneguhan diri – motivasi intrinsik yang merangkumi proses:

 pemerhatian – menetapkan piawai tingkah laku – menilai

 diri- memperoleh kepuasan diri – peneguhan diri

(peneguhan diri memerlukan keupayan konsep kendiri yang positif, serta keupayaan menipulasi diri (self-regulation)


TINGKAH LAKU PROSOSIAL    
Kecenderungan seseorang individu untuk bekerjasama antara satu dengan yang lain
Berkait rapat dengan perkembangan moral seseorang individu
Kajian Paulson (1974) mendapati tingkah laku prososial dapat ditanam melalui model-model yang digambarkan melalui televisyen
Kajian Elliot dan Vasta (1979) mendapati bahawa tingkah laku kerjasama dan keinginan untuk berkongsi boleh dipertingkatkan melalui modelling dan peneguhan
Bagi faktor jantina pula, tiada keputusan yang jelas. Kajian Kagan dan Madsen gagal memperoleh sebarang perbezaan jantina dalam tingkah laku kerjasama. Sebaliknya McKee dan Leader mendapati kanak-kanak lelaki kurang menunjukkan tingkah laku kerjasama.
Faktor umur menunjukkan kanak-kanak berumur 6-7 tahun sudah mula menunjukkan tingkah laku kerjasama. Hasil kajian ini selaras dengan pendapat Piaget yang menyatakan bahawa hanya apabila kanak-kanak berumur dalam lingkungan 6-7 tahun, mereka pandai bermain dalam permainan atau bentuk main kerjasama.
Kanak-kanak yang lebih muda berupaya menunjukkan tingkah laku alturistik.
Menurut Yarrow dan Zahn-Waxler mengatakan kanak-kanak yang berumur kurang dari 2 tahun sudah menunjukkan tingkah laku alturistik.
Perbezaan budaya juga mempengaruhi tingkah laku prososial. Cth: Kanak-kanak dari kelas sosial rendah dari luar bandar didapati lebih bekerjasama berbanding dengan kanak-kanak kelas sosial pertengahan di bandar.

TINGKAH LAKU ANTISOSIAL
ð  Tidak semua orang bersifat alturistik. Satu tingkah laku tidak alturistik ialah agresif
ð  Tingkah laku antisosial berkait dengan tingkah laku intusif (suka intrude), tingkah laku disruptif, asertif dan domineering (suka hendak mengawal orang lain, mahu orang lain mengikut katanya sahaja)
ð  Individu yang antisosial sanggup mencederakan orang lain dan melakukan keganasan
ð  Semasa zaman kanak-kanak dan remaja mereka suka bercakap bohong, bergaduh, mencuri dan kadang-kadang lari dari rumah.
ð  Apabila meningkat dewasa, individu yang bertingkahlaku antisosial tadi sukar untuk mengekalkan kerja yang tetap, sukar merancang, sukar menjadi ibu bapa yang baik dan sukar untuk membina dan mengekalkan perhubungan dengan orang lain.
ð  Terdapat teori yang mengatalkan bahawa tingkah laku antisosial ini sebenarnya merupakan konsekuen daripada rasa kecewa yang tidak dapat dielakkan dan kekecewaan itu didefinisikan sebagai kesan kegagalan mencapai matlamat.
ð  Ada pendapat menyatakan bahawa tingkah laku antisosial ini mungkin disebabkan oleh kerosakan hipotalamus di dalam otak, atau kemungkinan ada kaitannya dengan hormon atau aktiviti di dalam otak.

PERKEMBANGAN KECEKAPAN SOSIAL
- Merujuk kepada cara kanak-kanak berinteraksi dengan kanak-kanak lain dan orang dewasa dalam kehidupan mereka. Kemahiran sosial termasuklah berkongsi, bekerjasama dan mematuhi peraturan.

1. INTERAKSI RAKAN SEBAYA
ð  Merupakan salah satu proses bersosial yang penting bagi kanak-kanak
ð  Rakan sebaya bukan sahaja menawarkan peluang untuk bermain, tetapi kanak-kanak belajar tingkah laku sosial dan interaksi sosial melalui rakan sebaya.
ð  Pada peringkat awal kanak-kanak ialah masa yang sesuai untuk mereka mewujudkan kemahiran sosial dengan rakan sebaya.
ð  Kanak-kanak suka bermain dengan rakan sebaya yang seusia dengan mereka.
ð  Kanak-kanak juga dapat meningkatkan kecekapan mereka melalui interaksi dengan rakan sebaya
ð  Kejadian atau peristiwa seharian yang berlaku dalam kehidupan kanak-kanak membolehkan mereka menunjukan rasa simpati, tolong menolong, berbincang atau menyelesaikan masalah yang mereka alami bersama rakan sebaya.
ð  Kanak-kanak yang baru memasuki alam perhubungan rakan sebaya pada mulanya memerlukan tunjuk ajar serta campur tangan daripada orang dewasa. Namun ia semakin tidak diperlukan apabila umur mereka semakin meningkat.

2. PERSAHABATAN
ð  Merupakan salah satu jenis perhubungan rakan sebaya.
ð  Konsep persahabatan bagi kanak-kanak adalah terbatas. Ia wujud pada situasi yang berlaku pada masa itu sahaja.Namun ia menjadi semakin erat apabila umur kanak-kanak itu meningkat.
ð  Kanak-kanak prasekolah melihat rakan mereka dari segi kecekapan, kemahiran fizikal dan sikap, bukan dari segi personaliti. Dengan kata lain ‘kawan ialah seseorang yang bermain dengan kita’
ð  Kanak-kanak menganggap sahabat mereka sebagai sahabat sepermainan sahaja dan tidak mementingkan nilai persahabatan.
ð  Kanak-kanak mengenali persahabatan dengan bertanya “adakah awak kawan saya”? yang mana maksudnya ialah “adakah awak hendak bermain dengan saya”?
ð  Kanak-kanak prasekolah mengharapkan melalui persahabatan, akan memberikan mereka sesuatu yang menyeronokkan, hiburan, dan kepuasan dalam bermain.
ð  Terdapat pelbagai teori tentang pandangan kanak-kanak tentang persahabatan dan boleh dibahagikan kepada 3 tahap:
Tahap 1: Sahabat sebagai rakan sepermainan.
-          apabila umur kanak-kanak antara 5-7 tahun. Sahabat dianggap sebagau rakan sepermainan. Persahabatan dieratkan dengan pemberian dan perkongsian barang-barang mainan.

Tahap 2: Persahabatan berdasarkan saling membantu dan saling mempercayai antara satu sama lain
-          apabila umur kanak-kanak antara 8-10 tahun. Persahabatan pada peringkat ini merupakan satu hubungan dua hala iaitu saling membantu dan mempercayai antara satu sama lain.
Tahap 3: Persahabatan berdasarkan saling memahami dan lebih bersifat intimasi
- apabila kanak-kanak berumur antara 11-15 tahun dan ke atas. Mula mementingkan nilai persahabatan. Pada masa ini sahabat ialah orang yang memahami segala tingkah laku, personaliti dan emosi mereka.

3. PENGARUH JANTINA
ð  Menurut kajian, salah satu faktor yang penting dalam interaksi rakan sebaya dan persahabatan ialah jantina
ð  Kebanyakkan kanak-kanak lebih suka bersahabat dan bermain dengan kawan yang menpunyai jantina yang sama dengan mereka
ð  Menurut kajian, didapati kanak-kanak perempuan mengelak daripada bersahabat atau bermain dengan kanak-kanak lelaki. Ini kerana mereka mendapati kanak-kanak lelaki kurang memberikan respon yang baik kepada mereka sama ada melalui hubungan persahabatan atau semasa bermain.
ð  Kanak-kanak perempuan juga tidak suka bersahabat atau bermain dengan kanak-kanak lelaki kerana bagi mereka kanak-kanak lelaki mempunyai cara bermain yang agak kasar dan yang paling penting mereka kurang berpengaruh berbanding dengan kanak-kanak lelaki.
ð  Kanak-kanak lelaki lebih suka bermain dalam kumpulan yang lebih besar berbanding kanak-kanak perempuan yang selalunya terdiri daripada 2-3 orang sahaja.
ð  Kanak-kanak lelaki lebih suka bermain jauh daripada ibu bapa dan di tempat-tempat awam berbanding dengan kanak-kanak perempuan yang suka bermain tidak jauh daripada ibu bapa mereka.

TEORI PSIKOSOSIAL ERIKSON
  1. Erik Erikson ialah salah seorang pengikut Freud.
  2. Berbeza dengan Freud- menekankan soal perkembangan ego dan bukannya id sebagai punca utama menggerakkan tingkah laku.
  3. Teorinya dipanggil psikososial kerana menurut beliau proses-proses sosialisasi kanak-kanak dalam sesuatu budaya wujud mengikut lapan krisis tertentu yang perlu diatasi oleh seseorang. Jika sesuatu krisis atau tugas dalam satu tahap dapat diselesaikan, kualiti yang positif akan terbentuk yang mempengaruhi personaliti seseorang sebaliknya jika gagal diselesaikan, ego akan jadi rosak kerana kualiti yang negatif telah terbentuk yang mempengaruhi personaliti seseorang.
  4. Berikut ialah lapan tahap perkenmbangan yang diperkenalkan oleh Erikson:

i)             Percaya vs Tidak Percaya (0-1 tahun)
Semasa tahap ini interaksi erat ibu bapa dan anak adalah penting. Jika bayi menerima kasih sayang dan jagaan yang sempurna daripada ibu bapa, bayi akan memperkembang sifat percaya. Jika tidak, mereka akan memperkembang sifat takut, rasa syak wasangka dan tidak percaya dengan persekitaran mereka.
   
ii)            Autonomi vs Ragu-ragu (1-2 tahun)
Semasa tahap ini, kanak-kanak mula menyedari bahawa mereka bertanggungjawab ke atas tingkah laku mereka sendiri. Kanak-kanak belajar mengawal diri, belajar makan dan bermain sendiri. Jika ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka semasa ini untuk berdikari dan menerokai alam sekeliling, anak-anak akan yakin dengan diri mereka. Sebaliknya, jika ibu bapa terlalu mengawal, anak-anak akan jadi pemalu, ragu-ragu dan mempersoalkan kebolehan diri mereka untuk menghadapi dunia.

iii)           Inisiatif vs Rasa Bersalah (3-5 tahun)
Ketika berumur antara 3-5 tahun, kanak-kanak mula lebih berupaya menerokai persekitaran dan mencipta aktiviti sendiri. Mereka mempunyai persekitaran fizikal yang lebih luas dan bebas bergerak. Perkembangan bahasa berkembang dengan cepat. Mereka dapat menyoal, memahami jawapan dan dapat membayangkan berbagai-bagai kemungkinan. Hasil positif pada tahap ini ialah inisiatif. Sebaliknya jika kanak-kanak pada tahap ini dihalang daripada melaksanakan kehendak dan rancangan aktivitinya oleh ibu bapa, ia akan memperkembang rasa bersalah yang akan membawa kepada perasaan takut dan kurang tegas.

iv)          Industri vs Rendah diri (6-11 tahun)
Pada masa ini kanak-kanak akan mempelajari kemahiran akademik seperti  menulis, membaca, mengira dan juga kemahiran-kemahiran sosial. Jika kanak-kanak ini berjaya memperoleh kemahiran-kemahiran tersebut dan pencapaiannya ini dihargai oleh orang lain, kanak-kanak tersebut akan memperkembang sifat industri atau kerajinan dan mempunyai pandangan yang positif terhadap pencapaiannya. Tetapi jika kanak-kanak sering dibandingkan dengan orang lain dan dianggap tidak berkebolehan ia akan memperkembang sifat rendah diri. Pada masa ini juga, kanak-kanak mula berinteraksi dengan rakan sebaya dan dengan cara ini ia mula mengenali dirinya sendiri.

v)            Identiti vs Keliru identiti (12-19 tahun)
Pada masa ini, Erikson berpendapat tugas remaja ialah memperkembang satu integrasi diri yang boleh diterima dan unik. Remaja hendaklah mencari alternatif yang bersangkutan dengan masa depan yang memuaskan dan rasa selamat. Sebaliknya, remaja yang gagal akan memperkembang rasa keliru-identiti, hidup yang tidak bermatlamat, rasa tersisih dan sukar membuat sebarang keputusan.

vi)          Intimasi vs Isolasi (Awal Dewasa)
Tugas individu pada masa ini ialah memperkembang perhubungan yang rapat dan bermakna dengan orang lain. Jika seseorang individu itu gagal berkongsi moral, emosi dan seksual dengan orang lain, ia akan merasa tersisih dan kesunyian.

vii)         Generativiti vs Penyerapan –kendiri (Dewasa Pertengahan)
Pada tahap ini individu mestilah bertanggungjawab, mempunyai peranan dalam masyarakat, mencari cara untuk bersifat produktif dan berupaya membantu orang lain. Hasil positif pada tahap ini ialah perkembangan generasi yang bermaksud individu berasa prihatin bukan sahaja terhadap dirinya sendiri tetapi juga terhadap orang lain. Contohnya, sikap prihatin terhadap alam sekitar demi generasi akan dating. Sebaliknya penyerapan kendiri bermaksud seseorang individu itu cenderung dengan perolehan diri dan materialistik.

viii)        Integriti vs putus asa (lewat usia)     
Sekiranya tujuh tahap krisis psikososial berjaya ditempuhi, orang dewasa yang matang akan memperkembang integriti, iaitu percaya bahawa dia adalah seorang yang berdikari dan berani menerima sesuatu yang baru. Dia bekerja keras, telah mendapat peranan yang sebenar sepanjang hidup, juga dapat memperkembang konsep kendiri yang positif di mana dia merasa gembira. Dia juga dapat membina kehidupan berkeluarga dalam suasana yang harmoni. Tetapi sekiranya salah satu daripada krisis Psikososial tidak dapat diselesaikan atau dipenuhi, dia akan melihat dirinya dan kehidupannya dengan perasaan kecewa atau putus asa.







                                                             















No comments:

Post a Comment